KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) melakukan rasionalisasi semua program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan menumpukan kepada bidang berteknologi tinggi, strategik dan seiring dengan keperluan industri.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata rasionalisasi itu dilaksanakan di 270 institusi pendidikan MARA (IPMA) yang beraliran TVET daripada keseluruhan 344 yang ada di negara ini.
Beliau berkata, graduan TVET dari MARA juga dilamar majikan sebelum mereka habis pengajian berikutan modul latihan, kelengkapan alat pengajaran, mesin dan perkakas yang digunakan dalam pendidikan adalah yang terkini, diakreditasi serta diiktiraf industri.
“Kerjasama strategik juga dijalinkan supaya pelajar TVET ini terdedah dengan ilmu dan kemahiran terkini dalam industri.
“Atas faktor ini jugalah majikan cukup berminat mengambil pelajar lepasan IPMA, malah sebelum tamat lagi mereka sudah dilamar,” katanya lapor BH hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa tahap kebolehpasaran graduan TVET mencatat kadar tinggi.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata, institusi di bawah MARA merekodkan tahap 98.7 peratus, melepasi purata kebolehpasaran kebangsaan 94.5 peratus.
Pada masa sama, Asyraf Wajdi berkata, kurikulum TVET di bawah MARA sentiasa bersandarkan kepada kehendak industri di semua IPMA membabitkan GiatMARA, Institut Kemahiran MARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, German-Malaysian Institute (GMI), Malaysia-Jalan Industrial Institute (MJII) hinggalah ke peringkat tertinggi Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
“MARA menjadikan agenda TVET negara sebagai salah satu fokus utama dalam memperkasakan ekosistem pendidikan MARA.
“Ia adalah seiring dengan aspirasi Datuk Seri Ahmad Zahid yang menggagaskan TVET sebagai pilihan utama dan bukan sekadar buat mereka yang tercicir daripada arus akademik perdana,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.