KANGAR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi jaminan akan menangani sebaiknya dakwaan kes asrama pelajar perempuan di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) diceroboh dan tular di media sosial sejak semalam.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MARA akan memastikan keselamatan pelajar di kemudahan MARA itu terus terpelihara.
“Saya beri jaminan apa juga isu yang ada diperkatakan (berhubung MRSM) akan ditangani sebaiknya, tidak ada soal nak sorok ke apa.
“Insya Allah setiap aduan bahkan apa juga isu yang dikemukakan akan kita jawab sebab saya antara pemain sosial media yang aktif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Outlet Program Pembangunan Usahawan Automotif MARA Petronas (PUMP) di Titi Chai, Utan Aji, di sini hari ini.
Semalam, tular di media sosial kebimbangan ibu bapa pelajar di sebuah MRSM yang mendakwa hostel menempatkan pelajar perempuan menjadi sasaran penceroboh.
Selain hostel diceroboh, terdapat juga dakwaan pelajar wanita pernah diraba dan dicabul individu tidak dikenali di lokasi sama.
Dalam satu hantaran pada Ahad, seorang pengguna Facebook mendakwa perkara itu menimbulkan kebimbangan dan ketakutan ibu bapa pelajar wanita yang berada di sekolah berkenaan.
Asyraf Wajdi berkata, beliau peka dengan perkembangan berlaku dan akan menelitinya kes yang berlaku itu dengan lebih mendalam.
“Adakalanya saya menjawab sendiri komen itu dan saya amat prihatin dan juga ‘alert’ (sedar) dengan apa juga isu yang dibangkitkan oleh ibu bapa,” katanya.