Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mendedahkan kewujudan kartel melibatkan kontraktor dalam Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Pengerusinya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, terdapat proses pemilihan dan pelantikan kontraktor dalam MRSM yang tidak membabitkan pihaknya.
“Sepertimana yang saya jangkakan dan juga menjadi cakap-cakap diluar sana, bila saya masuk sebagai pengerusi (MARA), orang kata ada kartel sebagainya.
“Sebab itu penting, bila saya turun ke bawah ini, kita nampak lah dan memang betul lah ada kartel.
“Contohnya waktu mereka mohon, kita tak tahu sebab alamatnya berdekatan, bila saya periksa balik prosedur operasi standard (SOP), keutamaan itu diberikan bila markah itu (kontraktor yang memohon) itu sama, kita akan bagi keutamaan kepada syarikat tempatan,” katanya.
Jelas beliau, keutamaan itu diberikan sekiranya sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku, pemilik syarikat terbabit mudah untuk mengendalikan isu yang timbul.
Namun, setelah pihaknya turun padang dan cuba mendapatkan pemilik di alamat yang didaftarkan, ia tidak sama seperti yang dipaparkan kepada pihak MARA.
Justeru, katanya beliau akan meneruskan inisiatif turun padang dalam memastikan perkara itu tidak terus berlaku.
“Bagi saya terjahan ataupun turun padang ini saya akan tetap lakukan kerana ini amanah saya.
“Sebagai pengerusi MARA yang meluluskan setiap peruntukan ini, saya nak pastikan setiap sen duit rakyat ini benar-benar dimanfaatkan dengan cara yang paling baik, tidak culas, tidak tiris mahupun tidak membazir,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.