BUTTERWORTH: Sebanyak lima kontena dengan muatan 100 tan produk tenusu ‘whey powder’ atau serbuk dadih ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang, hari ini.
Dagangan dibawa masuk dari Ireland itu ditahan semasa pegawai MAQIS menjalankan pemeriksaan rutin di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT).
Pengarah MAQIS negeri, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, ia berikutan dokumen yang diisytihar mengelirukan.
Katanya, pihak pengimport mengemukakan maklumat loji pemprosesan pada barang dagangan berbeza dengan yang dinyatakan pada sijil kesihatan dan permit MAQIS.
Justeru, 100,000 kilogram (kg) dagangan dianggar bernilai lebih RM400,000 ditahan bagi tindakan lanjut.
“MAQIS mengingatkan penggiat industri sentiasa mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan atau bakal berdepan tindakan tegas tanpa kompromi bagi menjamin industri makanan negara bebas daripada perosak, penyakit dan halal dimakan rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta MAQIS 2011 [Akta 728].
Jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.