Tumpuan :
Nasional

MAQIS sita 6 tan produk kayu import tanpa permit dari China

JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menahan dan menyita produk kayu import seberat hampir enam tan di Pelabuhan Pasir Gudang, pada Selasa lalu.

Pengarah MAQIS Johor, Edie Putra Md Yusof, berkata produk kayu import dari China dengan berat 5,913 kilogram itu dianggarkan bernilai RM75,000.

Katanya, sitaan dibuat hasil pemeriksaan terhadap kontena yang dijalankan pegawai penguat kuasa MAQIS pada jam 4 petang.

“Pihak kami menemukan produk kayu iaitu ‘Wooden Frame Wheat Straw’ cuba dibawa masuk tanpa permit import MAQIS.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati produk kayu itu juga tidak menjalani sebarang rawatan seperti ditetapkan dalam syarat pengimportan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Edie Putra berkata, perbuatan mengimport sebarang jenis keluaran pertanian tanpa permit import MAQIS adalah kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama.

Katanya, jika disabit kesalahan, pihak terbabit boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pihak MAQIS akan sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma yang dibawa masuk ke dalam negara bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini