SHAH ALAM: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor merampas pelbagai makanan berasakan haiwan seperti sosej, ham, seaweed, aiskrim, ikan bilis beku dari Korea yang tiada permit import sah, di Pelabuhan Klang, dekat sini Jumaat lalu.
Pengarah MAQIS Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, kesemua dagangan terbabit cuba dibawa masuk oleh sebuah syarikat tempatan namun ditahan di pintu masuk Pelabuhan Klang Barat.
“Pemeriksaan dilaksanakan terhadap kontena yang membawa makanan terbabit kira-kira jam 10.30 pagi dan mendapati dagangan itu tidak mempunyai permit import sah yang dikeluarkan oleh MAQIS.
“Siasatan mendapati, kesemua barangan dagangan yang dirampas berkenaan dianggarkan bernilai RM10,125.17.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Sobri berkata, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperluaskan di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian.
“Ini bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikro organisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.