comscore
Tumpuan :
Nasional

MAQIS sekat kemasukan jering, petai berulat 

PORT DICKSON: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menahan kemasukan sekotak buah jering dan petai seberat empat kilogram dari Dumai, Indonesia.

Menurut Pengarah MAQIS Melaka dan Negeri Sembilan, Nora Dinah Abdul Rahman penahanan itu dibuat selepas pemeriksaan rutin dijalankan pegawai penguatkuasa MAQIS di laluan Jeti Penumpang Port Dickson, Negeri Sembilan di sini semalam.

Produk pertanian itu katanya tidak mempunyai sebarang dokumen import yang sah seperti sijil fitosanitasi atau pengesahan bahawa rawatan atau keperluan-keperluan yang dinyatakan di dalam permit import telah dipatuhi.

“Melalui pintasan dan persampelan yang dilakukan juga, buah petai dan jering itu didapati mengandungi ulat jenis ‘Mussidia pectinicornella’ yang berisiko kepada komoditi pertanian di negara ini.

“Justeru itu, barangan pertanian jenis ulam-ulaman itu disita dan akan dilupuskan mengikut kaedahpelupusan yang ditetapkan manakala individu yang ingkar boleh dihadapkan prosiding undang-undang mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Nora Dinah berkata, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, tanah dan mikroorganisma tanpa permit, lesen atau perakuan yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia2011 [Akta 728].

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“MAQIS sentiasa teliti dan cekap dalam menjalankan pemeriksaan terhadap keluaran pertanian yang diimport ke dalam negara bagi menjamin setiap keluaran pertanian tiada perosak, penyakit atau bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan Malaysia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini