Oleh: Selwam Arjunan
BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang telah menahan dagangan kayu sebanyak 33.9 tan metrik jenis Pencil Cedar Baulks (Palaquium Warburgianum Pencil) yang berasal dari Papua New Guinea di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT), di sini, semalam.
Dagangan yang dianggarkan bernilai RM186,000 itu disita untuk tindakan lanjut selepas pemeriksaan rutin yang dilakukan oleh pegawai MAQIS.
“Hasil pemeriksaan, pegawai MAQIS telah menemukan serangga perosak pada dagangan kayu berkenaan di dalam sebuah kontena di tapak pemeriksaan NBCT.
“Prosedur pintasan dan persampelan telah dijalankan terhadap konsainan ini dan sampel telah dihantar ke Makmal Biosekuriti Tumbuhan Jabatan Pertanian.
“Keputusan Analisa Penyaringan Perosak mendapati spesis yang ditemui adalah jenis Long-Horned Beetle (Chloridolum Dorycum) yang merupakan spesis serangga perosak yang berisiko tinggi terhadap komoditi pertanian negara.
“Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, tanih dan mikroorganisma yang mempunyai perosak adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta728) yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan.
MAQIS juga katanya sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara bagi menyekat kehadiran perosak yang boleh merebak dan menyebabkan penularan yang merbahaya terhadap industri pertanian negara bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat.