Tumpuan :
Nasional

Maqis rampas 740kg daging kerbau dari India

FOTO: NSTP

PASIR GUDANG: Sebanyak 740 kilogram (kg) daging kerbau dari India disita Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dalam pemeriksaan di Pelabuhan Pasir Gudang, di sini, semalam.

Pengarah MAQIS Johor, Edie Putra Md Yusof, berkata daging kerbau bernilai RM11,700 tersebut ditemui dalam 37 kotak yang diletakkan dalam satu kontena.

Katanya hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh Pegawai Penguasa MAQIS telah menemukan sebanyak 37 kotak daging kerbau yang mempunyai tarikh penyembelihan, tarikh pembuatan, tarikh luput.

“Namun nama pengimport tidak sama seperti yang dinyatakan pada sijil halal yang dikeluarkan.”Perbuatan ini adalah disyaki menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728], kerana memberi perakuan atau dokumen lain yang tidak tepat dan mengelirukan,”katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Edie Putra, seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai ejen penghantaran ditahan untuk diambil keterangan.

“Lelaki berusia lingkungan 30 an itu kemudian dilepaskan setelah keterangan diambil.

“Pihak MAQIS sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk, bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan, seterusnya memastikan biosekuriti makanan negara sentiasa terkawal dan selamat digunakan,”katanya.

Loading...
Terkini