Tumpuan :
Nasional

MAQIS rampas 2kg perut babi sejuk beku disorok dalam beg pakaian

Pegawai MAQIS memeriksa produk larangan import dibawa sepasang suami isteri yang ditahan ketika pemeriksaan di balai ketibaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Rabu minggu lalu. – FOTO: Ihsan MAQIS

KOTA BHARU: Sepasang suami isteri ditahan bersama dua kilogram (kg) perut babi sejuk beku tanpa dokumen sah yang disorok dalam beg pakaian ketika pemeriksaan rutin di balai ketibaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini.

Ketua Pintu Masuk LTSIP, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Mohd Ariwadi Mohd Salleh, berkata rampasan barangan daripada pasangan warga Malaysia berusia lingkungan 40-an itu dibuat pada jam 2.30 petang Rabu minggu lalu.

“Pemeriksaan dalam beg pakaian menemui 2 kilogram (kg) perut babi sejuk beku yang dibawa masuk dari Singapura tanpa sebarang dokumen pengimportan yang sah.

“Pasangan itu memberi alasan ia untuk makan sendiri, tapi kami terpaksa rampas kerana risiko kemasukan penyakit African Swine Fever (ASF) ke negara kita,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Ariwadi berkata, mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, tanah dan mikroorganisme tanpa permit, lesen atau perakuan yang sah adalah salah mengikut Seksyen 11(1) Akta 728.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, MAQIS sentiasa memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan keterjaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan manusia serta mengawal kemasukan penyakit yang boleh mengancam industri penternakan dan makanan negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini