
GELANG PATAH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mematahkan cubaan membawa masuk 2,241 kotak berisi bahagian ayam (Chicken Bishop Nose) dianggarkan bernilai RM340,856 di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), dekat sini, Jumaat lalu.
Menurut kenyataan MAQIS, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kastam menahan sebuah lori, kira-kira jam 8.00 malam pada 17 Januari lalu ketika melalui kompleks berkenaan.
“Hasil pemeriksaan berjaya menemui lebih kurang 29,113 kilogram bahagian ayam (Chicken Bishop Nose) yang cuba dibawa masuk tanpa permit import.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua bahagian ayam terbabit dibawa masuk tanpa sijil kesihatan veterinar dan sijil pengesahan halal,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan itu, pemandu dan lori terbabit ditahan untuk tindakan lanjut.
Tindakan diambil mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.
Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara maksima 6 tahun atau keduaduanya sekali.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.