comscore
Tumpuan :
Nasional

MAQIS arah kontena bawa lebih 3 tan aiskrim dari Taiwan berpatah balik

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang mengesan kontena yang membawa aiskrim dari Taiwan tanpa permit import yang sah ketika mengadakan pemeriksaan di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT). – FOTO: MAQIS Pulau Pinang

BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang mengarahkan kontena yang membawa lebih tiga tan aiskrim dari Taiwan berpatah balik ke negara asal.

Jurucakap MAQIS negeri berkata, kontena itu dikesan masuk melalui Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT) hari ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati barang dagangan itu tidak mempunyai permit import MAQIS yang sah.

“Sehubungan itu, bahan dagangan seberat 3,772.78 kilogram bernilai RM355,874.59 ini ditahan dan diarah berpatah balik ke negara asal.

“Perbuatan mengimport produk berasaskan haiwan tanpa permit yang sah adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, MAQIS mengingatkan kepada semua pemain industri supaya sentiasa merujuk dan mematuhi syarat perdagangan import dan eskport negara.

“Sebarang perbuatan yang tidak mematuhi syarat adalah menjadi suatu kesalahan dan tindakan tegas akan dikenakan.

“Tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana syarikat yang melanggar ketetapan undang-undang demi menjamin keselamatan dan keterjaminan industri makanan negara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini