Oleh: Safwan Sawi
KOTA BELUD: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengesahkan kira-kira 12 ekor kerbau ternakan mati di Kampung Sembirai, di sini, dipercayai terkena renjatan elektrik akibat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab mencuri kabel.
SESB dalam satu kenyataan berkata, kejadian dikesan apabila pasukan teknikalnya menerima aduan berkenaan kejadian pada jam 8.45 pagi Rabu lalu daripada penduduk kampung.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pendawaian kabel elektrik yang terjuntai dipercayai akibat aktiviti cubaan mencuri kabel oleh pihak yang tidak bertanggung jawab.
“Terdapat arus mengalir melalui wayar elektrik yang berjuntai ke tanah dipercayai dipotong untuk cubaan mencuri yang menyebabkan kematian kepada 12 haiwan ternakan akibat renjatan elektrik,” katanya.
SESB kesal kerana masih ada pihak yang tidak memahami tentang bahaya mencuri kabel elektrik SESB.
“Tindakan ini bukan sahaja boleh menyebabkan renjatan elektrik kepada pelaku tetapi membahayakan orang ramai yang berada di sekitar lokasi kecurian,” katanya.
Menurutnya, laporan polis berkenaan perkara itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud untuk tindakan lanjut daripada pihak berkaitan.