Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Bank Negara Malaysia (BNM), Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan semua institusi kewangan diseru untuk mengambil langkah segera memansuhkan fi RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mesin juruwang automatik (ATM).
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, langkah itu akan meringankan beban
kewangan pekerja, meningkatkan kepercayaan terhadap sistem perbankan dan menunjukkan empati yang sangat diperlukan dalam situasi ekonomi semasa.
“MTUC menyatakan sokongan penuh terhadap gesaan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) untuk memansuhkan fi RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di ATM.
“Fi ini memberikan tekanan tambahan kepada pekerja berpendapatan rendah khususnya mereka yang sudah bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.
“Caj ini dilihat membebankan kerana ramai
pekerja yang tinggal di kawasan pedalaman atau kurang akses kepada ATM bank mereka sendiri terpaksa menggunakan perkhidmatan bank lain,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, fi RM1 mungkin kelihatan kecil, tetapi ia memberi impak besar kepada mereka yang
sering mengeluarkan tunai.
Memberi contoh pekerja yang menerima gaji secara mingguan atau harian, beliau berkata, pekerja tersebut akan menanggung beban kewangan lebih tinggi kerana kekerapan pengeluaran wang.
“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini, setiap sen adalah sangat bermakna untuk golongan pekerja dan keluarga mereka,” katanya.
Mohd Effendy menegaskan, institusi kewangan dan PayNet mempunyai tanggungjawab sosial untuk memastikan perkhidmatan mereka tidak menjejaskan kebajikan rakyat.
Ujarnya, pemansuhan fi itu akan menunjukkan
keprihatinan mereka terhadap golongan rentan dan membuktikan bahawa sektor perbankan di Malaysia bersedia untuk menyokong rakyat terutama pekerja yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.
“Kami mengambil maklum bahawa ketika pandemik COVID-19, fi ini telah dimansuhkan sebagai langkah membantu rakyat menghadapi cabaran kewangan.
“Oleh itu, MTUC percaya pendekatan ini harus dikembalikan kerana rakyat masih menghadapi kesukaran kewangan dalam proses pemulihan ekonomi,” katanya.
Menurutnya, MTUC turut menyokong cadangan agar golongan tertentu seperti pekerja berpendapatan rendah, warga emas dan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar diberikan pengecualian sekiranya pemansuhan sepenuhnya tidak dapat dilaksanakan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.