comscore
Tumpuan :
Nasional

Manipulasi isu keagamaan sikap tidak bertanggungjawab

Oleh: Siti Khadijah Jaafar dan Rusyaidi Hafiz Syahid

PUTRAJAYA: Pihak yang berterusan memanipulasi isu keagamaan serta perkauman sebagai senjata untuk melemahkan pihak yang tidak sealiran disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata, akibatnya rakyat akan menjadi mangsa keadaan kerana dihidangkan dengan berita fitnah, adu domba serta maki hamun yang memecah belahkan silaturahim.

“Semangat kemajmukan berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara akan membentuk acuan jati diri yang berjiwa patriotik, bertoleransi dan bertanggungjawab.

“Ia sekaligus membantu memperkukuh kesejahteraan masyarakat yang menjadi nilai teras Malaysia Madani. Negara memerlukan kompas tersendiri dalam menghargai keunikan kepelbagaian agama, kaum, dan budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Kebangsaan 1446 Hijrah di Putrajaya pada Isnin.

Majlis sambutan Maulidur Rasul kali ini diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri serta jemaah menteri dan penjawat awam.

Dalam pada itu, menurut Mohd Na’im, sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan yang disambut hari ini membawa makna yang cukup besar kepada umat Islam untuk menghayati serta mengamalkan segala intipati ajaran yang telah ditinggalkan baginda Rasulullah yang berasaskan ilmu dan hikmah.

Justeru sifat kenabian Rasulullah SAW iaitu siddiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan), dan fatonah (bijaksana) merupakan rencah lengkap dalam dalam menggapai Al-Falah sebagai muslim sejati.

“Dalam keceriaan yang berwarna- warni, mari kita terus bersatu hati mendoakan rakan kita di Palestin diberikan keselamatan dan kesejahteraan. Tidak dilupakan rakyat Palestin yang sedang dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan agar dikurnia kesihatan dan kesembuhan,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini