KUCHING: Selepas sembilan hari pencarian, mangsa terakhir kejadian bot karam di Sungai Batang Baleh, Kapit, 7 Mac lalu ditemukan lemas, hari ini.
Mayat Konstabel Iskandar Ibrahim, 28, ditemui terapung oleh orang awam kira-kira jam 11.30 pagi.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, berkata mayat mangsa ditemui di kawasan Teluk Seputin kira-kira tujuh kilometer di hilir dari lokasi bot karam.Katanya, mayat mangsa kini ditempatkan di Hospital Kapit untuk proses bedah siasat yang akan diadakan pada Isnin depan.
“Bedah siasatan dijadual pada jam 8 pagi, 18 Mac ini di Hospital Kapit.
“Selepas urusan bedah siasat serta urusan lain selesai, jenazah arwah akan diterbangkan untuk urusan pengebumian di kampung halamannya di Kelantan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, isteri mangsa, Anis Nur Ezzati dalam catatan di Facebooknya memohon doa orang ramai agar suaminya itu ditemukan walau apa juga keadaannya.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, 7 Mac lalu, bot yang dinaiki lima individu karam di Sungai Batang Baleh, berdekatan jeti SK Lepong Baleh.
Seorang berjaya diselamatkan oleh orang awam, manakala empat lagi termasuk dua anggota polis hilang dihanyutkan arus deras.
Ketika kejadian, kedua-dua anggota polis itu termasuk Iskandar dalam perjalanan dari Kuching ke Nanga Tulie, Kapit kerana mengiringi bahan letupan seberat 35 kilogram.
Pada 9 Mac, dua mangsa ditemui lemas iaitu Jack Balan yang ditemui terapung oleh anggota polis di Pulau Kerto, Sibu pada jam 10 pagi. Mayat kedua, Sarjan Jonathan Lambet, pula ditemui terapung oleh anggota bomba pada jam 4.02 petang hari yang sama kira-kira lima kilometer dari lokasi bot karam di Sungai Batang Baleh.
Mayat ketiga iaitu Amerson John Nain, pula ditemui terapung di Sungai Batang Lebaan, Sibu, petang 10 Mac lalu.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diaktifkan sejak 7 Mac lalu membabitkan 12 anggota termasuk Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 17 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Unit Dron, sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), lima anggota Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), tiga dari Pejabat Residen Kapit serta kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kapit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.