comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa serangan simbah asid trauma, berkurung di rumah saudara

Gerai baharu yang dah siap selepas terbakar

Oleh: Izzatie Rizan

GOMBAK: “Tak sangka Mel diduga ujian bertimpa-timpa.”

Itu reaksi rakan mangsa, susulan serangan simbah asid yang berlaku di Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves Selasa lalu.

Ketika ditemui Buletin TV3, beliau yang enggan dikenali mendakwa, mangsa baru sahaja diuji gerainya terbakar seminggu sebelum perayaan Aidiladha.

Lokasi kejadian di Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves.

Belum pun lega dengan musibah itu, mangsa diuji pula dengan insiden tragis itu.

“Saya terkejut mendengar berita itu, Mel baik orangnya. Dia baharu sahaja nak buka gerainya semula selepas terbakar sebelum raya haji. Tak sangka belum sempat gerai dibuka, datang ujian lain pula,” katanya.

Rakan mangsa tidak menolak dakwaan kejadian berlaku, merupakan perbuatan khianat kerana daripada maklumat pihak bomba ketika kejadian pertama membabitkan gerai mangsa, terdapat kesan petrol di lokasi.

“Saya tak menolak kemungkinan ianya perbuatan khianat daripada orang terdekat, sebab berulang-ulang benda sama terjadi kepada Mel. Setahu saya dia tidak ada musuh ” tambahnya.

Sementara itu tinjauan kami mendapati, mangsa tiada di rumah setelah keluar daripada hospital, semalam.

Jiran mangsa memberitahu, dia bersama keluarganya telah menetap di lokasi lain, demi keselamatan mereka.

Dalam kejadian Selasa lalu, seorang warga emas berusia 60 tahun bersama suami dan anaknya disimbah asid semasa memasuki lif di pangsapuri itu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian itu tular di media sosial selepas dimuat naik seorang individu yang mengaku sebagai kenalan mangsa.

Video memaparkan seorang individu berdiri berhampiran mangsa sebelum menyimbah cecair dipercayai asid sejurus mereka memasuki lif.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat.

Loading...
Terkini