Tumpuan :
Nasional

Mangsa serangan gajah liar ditidurkan bagi menguatkan tubuh

MERSING: Mangsa serangan gajah liar yang parah dalam kejadian di kawasan hutan belukar belakang Sekolah Kebangsaan LKTP Tenggaroh 5 di sini, ditidurkan hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa, 51, kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan ditidurkan atas nasihat doktor.

“Mangsa ketika ini ditidurkan bagi tujuan menguatkan tubuh pesakit.

“Setakat ini kecederaan disahkan adalah pendarahan dalam kepala, satu ruas tulang rusuk patah dan patah tulang pinggul,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu mangsa dilapor parah, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tenggaroh 2 susulan serangan gajah.

Kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa yang juga pekerja kontrak pembersihan sekolah cuba menghalau gajah liar daripada mendekati kawasan sekolah sebelum diserang haiwan itu.

Susulan kejadian itu, operasi mengesan dan menangkap gajah liar dimulakan serta-merta bagi memastikan keselamatan penduduk setempat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini