DUNGUN: Mangsa serangan beruang di ladang sawit Kampung Telembuh, dekat Jerangau Sungai, pagi kelmarin selamat menjalani pembedahan pagi tadi.
Nik Azhar Daud, 40, yang dimasukkan ke wad sejak hari kejadian selesai menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu (HSNZ) kira-kira jam 3.40 pagi.
Isteri mangsa, Roshuhaida Mokhtar, 39, berkata suaminya itu kini stabil selepas menjalani pembedahan.
“Syukur pada Tuhan suami selamat menjalani pembedahan di bahagian belakang leher tangan dan kaki.
“Doktor juga telah mencuci semua luka kesan gigitan haiwan terbabit dan menjahit semua bahagian luka terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Roshuhaida berkata, bahagian belakang leher suaminya itu parah sehingga perlu dijahit dengan lebih teliti.
“Saya tidak tahu berapa banyak jahitan dilakukan pada tempat luka dan suami kelihatan masih trauma dengan kejadian itu.
“Dia boleh tidur lena, tetapi suami beritahu dia sukar melupakan serangan itu dan tidak mahu lagi masuk ke hutan,” katanya.
Kelmarin, Nik Azhar yang sedang berehat ketika memeriksa kerbau ternakannya di ladang diserang beruang dari arah belakang sehingga parah.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi dan Nik Azhar sempat bergelut dengan beruang terbabit dan menikam haiwan itu sebelum ia melarikan diri ke hutan berhampiran.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.