Tumpuan :
Nasional

Mangsa maut nahas 6 kenderaan adalah pelajar cemerlang, penerima biasiswa

FOTO: Tymba Edu / Facebook

KAJANG: Pelajar cemerlang, Aysar Zahran Saiful Alimin dikenal pasti sebagai mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Hulu Langat-Ampang, di sini, semalam.

TYMBA Education melalui hantaran di Facebook berkata, Allahyarham merupakan penerima biasiswa MyPAC-Maybank Islamic Berhad bagi program ACCA-FIA di TYMBA.

“Pencapaian luar biasa Aysar, termasuk meraih tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua di dunia bagi kertas Management Information 1 (MA1) dalam peperiksaan FIA pada Disember 2023, amat membanggakan kami.

“Komitmen dan kecemerlangannya akan sentiasa dikenang dalam hati kami. Takziah yang mendalam buat keluarga beliau serta mentornya, iaitu tutor kami, Puan Fatimah (Alumni MyPAC).

“Semoga Allah mengurniakan kesabaran dan kekuatan kepada mereka, serta menempatkan roh Aysar dalam kedamaian abadi di taman-taman syurga,” kata hantaran itu semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang.

“Siasatan awal mendapati, ketika kejadian empat motosikal serta sebuah kereta dalam perjalanan dari arah Hulu Langat menghala ke Ampang.

“Tiba di lokasi kejadian, Perodua Alza yang datang dari arah Ampang masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kelima-lima kenderaan tadi.

“Akibat pelanggaran itu, seorang penunggang motosikal berusia 20 tahun tercampak lalu terjatuh ke tepi jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa, seorang lelaki tempatan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala, lima penunggang dan pembonceng motosikal lain yang cedera dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan.

Katanya, pemandu kedua-dua kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Naazron berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan kenderaan terbabit dihantar untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Kimia.

“Kesemua mangsa terbabit berusia lingkungan 17 ke 38 tahun, manakala pemandu Alza berusia 27 tahun ditahan dan permohonanan reman akan dibuat hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Narolhisyam Endi di 0195897115,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini