comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Mangsa kemalangan itu adalah isteri dan kakak ipar saya’

Mohamad Firdaus menunjukkan gambar kenangan terakhir yang diberikan arwah isterinya yang maut dalam kemalangan semalam – Foto: NSTP

ALOR SETAR: “Saya dengar dentuman kuat kemalangan ketika sedang bekerja di stesen minyak, Jalan Kuala Kedah tetapi tak tahu siapa mangsanya dan buat kerja seperti biasa.

“Namun tak lama kemudian, ada remaja lelaki datang memberitahu mangsa kemalangan itu adalah isteri saya dan kakak ipar, menyebabkan saya bergegas ke tempat kejadian untuk melihat apa yang berlaku,” kata Mohamad Firdaus Roslan, 34.

Mohamad Firdaus adalah suami kepada Nur Syafiqah Abdullah, 32, yang meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangi bersama kakaknya, Nooraliza, 43, dilanggar sebuah kereta Proton Satria yang dipandu remaja perempuan berusia 14 tahun berhampiran stesen minyak di Jalan Kuala Kedah, petang semalam.

Dalam kejadian jam 7.05 petang itu, Nur Syafiqah meninggal dunia di tempat kejadian manakala kakaknya dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini akibat kecederaan di badan.

Menurut Mohamad Firdaus, sebaik tiba di lokasi kejadian, mencari anak tunggal mereka, Muhammad Adam Amar, 2, kerana menyangka isterinya membawa anak mereka bersama.

“Namun saya dimaklumkan isteri tidak membawa anak kami bersama ketika itu dan pada waktu kejadian dia bersama kakak ipar dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Ulu, Kuala Kedah selepas pulang dari karnival makanan di sebuah pasar raya di situ,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, di sini hari ini.

Menurutnya, terdahulu dia sempat mengajar dua kalimah syahadah kepada isterinya yang ketika itu masih bernyawa dan terlentang di atas bahagian enjin kereta itu sebelum menghembuskan nafas terakhirnya di situ.

Katanya, ketika kejadian, hujan renyai dan dia tidak menyangka isterinya akan pergi buat selamanya walaupun mereka sempat berjumpa pada jam 5 petang iaitu kira-kira dua jam sebelum kemalangan.

“Waktu itu saya pulang ke rumah untuk makan dan saya sempat berbual dengan isteri sambil bergurau.

“Tak sangka itu kali terakhir kami berbual mesra sebelum dia pergi buat selamanya meninggal saya dan anak yang masih kecil,” katanya.

Mohamad Firdaus berkata, hubungan isterinya dan kakak ipar sangat rapat kerana isterinya anak bongsu dari enam beradik manakala kakaknya pula anak kelima dalam keluarga.

Katanya, ke mana mereka pergi sentiasa bersama kerana tinggal serumah bersama ibu mentuanya di Kampung Ulu, Kuala Kedah.

“Dua hari lalu, isteri menyerahkan sekeping gambar kepada saya dan meminta simpan dalam dompet kerana arwah baru mengambil gambar ukuran pasport untuk membuat pas sempadan.

“Dia bercadang hendak bercuti ke Thailand bersama rakan-rakannya pada 5 November ini dan mengambil gambar itu sebelum menyerahkan sekeping kepada saya buat kenangan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Firdaus berkata, mereka sekeluarga reda dengan apa yang berlaku namun bercadang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap keluarga remaja perempuan berkenaan.

Katanya, mereka tidak sepatutnya membenarkan remaja bawah umur memandu kereta tanpa lesen sehingga mengakibatkan nyawa isteri melayang.

“Biar semua urusan selesai dulu baru saya akan fikir tindakan undang-undang yang akan diambil nanti.

“Setakat ini, tiada seorang pun ahli keluarga remaja itu datang memohon maaf kepada kami,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita maut selepas motosikal ditunggang bersama kakaknya dilanggar kereta yang dipandu remaja perempuan berusia 14 tahun, semalam.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini