Tumpuan :
Nasional

Mangsa diperdaya ‘scam’ dalam talian tanggung kerugian RM3.18 bilion – Gobind

PETALING JAYA: Kira-kira 95,837 mangsa yang diperdaya menerusi ‘scam’ dalam talian terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM3.18 bilion dalam tempoh 2021 sehingga April lalu.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, jumlah kerugian yang dibuat berdasarkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) itu bagaimanapun hanya membabitkan mangsa yang tampil membuat laporan.

“Jumlah berkenaan hanya membabitkan mangsa yang telah membuat laporan. Saya percaya masih ramai mangsa yang tidak melaporkan dan jumlah sebenar mungkin lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian antara Axiata Group Bhd; Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC); dan CyberSecurity Malaysia (CSM) dalam memperkasakan infrastruktur keselamatan siber kebangsaan dan melawat Pusat Fusion Siber Axiata (ACFC).

Menurut Gobind, statistik CSM juga menunjukkan, kes keselamatan siber meningkat dalam tujuh bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Bermula Januari hingga Julai tahun ini CSM merekodkan 3,607 keseluruhan kes keselamatan siber berbanding 3,327 dalam tempoh sama tahun lalu.

“Kes penipuan paling tinggi direkodkan dengan 2,337 kes diikuti kod hasad (362), pelanggaran data (312), percubaan pencerobohan (240), pencerobohan (230), kelemahan sistem (69), spam (46) serta serangan penafian perkhidmatan (11),” katanya.

Menyedari risiko dan ancaman serangan siber yang semakin berkembang, beliau berkata kerajaan komited untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam mewujudkan ekosistem siber lebih selamat dan berdaya tahan dengan meningkatkan keselamatan negara, kemakmuran ekonomi dan keharmonian sosial untuk ekonomi dan rakyat negara ini.

“Saya juga berharap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) yang dipinda baru-baru ini akan dikuatkuasakan hujung bulan ini bagi meningkatkan daya saing digital Malaysia dengan memastikan pengurusan data peribadi yang selamat dalam transaksi komersial.

“Selain itu, kementerian juga bercadang supaya kita dapat menubuhkan Suruhanjaya Data hujung tahun ini meningkatkan lagi keselamatan data negara,” katanya

Kerjasama awam-swasta antara Axiata, MDEC dan CSM menyaksikan ketiga-tiga organisasi itu bertindak sebagai pemudah cara utama bagi memanfaatkan digitalisasi di Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini