
PARIT BUNTAR: Mangsa dalam kejadian bot terbalik di Pantai Teluk Batik, semalam, bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan pengusaha bot berkenaan.
Mohammad Hafiz Johari, 31, berkata pihaknya kesal kerana ketika kejadian berlaku sehingga mengorbankan nyawa isterinya, Nurul Afiqah Abdullah Sani, 34, tidak ada pihak berkaitan atau pengawal keselamatan di pantai itu datang membantu.
“Buat masa ini, kami perlu selesaikan perkara yang perlu dulu dan akan berbincang dengan ahli keluarga untuk mengambil tindakan undang-undang.
“Dari aspek keselamatan di lokasi, kami dapati banyak kekurangan termasuk tiada jaket keselamatan, tiada pemantauan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu MPM dan sebagainya, sedangkan perkara itu perlu ada terutama di kawasan pantai dan di waktu cuti umum,” katanya kepada media, hari ini.
Dalam kejadian semalam, bot dinaiki Mohammad Hafiz bersama Nurul Afiqah, adik dan dua anaknya yang bergerak laju tiba-tiba berpusing lalu terbalik di Pantai Teluk Batik.
Nurul Afiqah yang ditemui terperangkap di bawah bot yang terbalik itu dibawa ke Hospital Seri Manjung dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan jam 4.58 pagi tadi.
Artikel berkaitan: Wanita mangsa bot rekreasi terbalik, meninggal dunia

Jenazah Nurul Afiqah dibawa ke Masjid At Taqwa, Sungai Megat Aris, Bagan Tiang pada jam 2.30 petang dan dikebumikan selepas solat Asar di tanah perkuburan masjid berkenaan.
Mohamad Hafiz berkata, kejadian itu menyebabkan dua anaknya mengalami trauma yang teruk terutama Ainul Mardiah yang berulang kali memaklumkan tidak mahu lagi menaiki bot pada masa depan.
“Pihak berkaitan perlu mengetatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) di pantai, termasuk kepada pengusaha bot dan penjaga pantai bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.