Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Jumlah mangsa banjir Monsun Timur Laut (MTL) yang direkodkan sejak 5 November lalu iaitu seramai 235,706 orang di sembilan negeri terjejas, adalah yang tertinggi selepas banjir besar melanda negara semasa MTL pada 2014/2015.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, data itu berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) dan Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Setakat pagi ini, trend (jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara – PPS) dilihat menurun. Setakat ini juga surut sedikit di kawasan Kelantan, Terengganu tapi naik di Pahang dan beberapa kawasan di Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI kepada Mangsa Banjir di Kompleks Seri Perdana, di sini.
Pada masa sama, Anwar melahirkan kebimbangan kemungkinan berlaku gelombang kedua bencana banjir di negara ini.
Justeru, beliau mengarahkan agensi berkaitan bersiap sedia dan mengambil langkah waspada berdasarkan ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi (METMalaysia).
“Jadi kebimbangan ialah kemungkinan mengikut METMalaysia ada gelombang kedua banjir. Mudah-mudahan insya-Allah kita dapat kawal,” katanya.
METMalaysia sebelum ini menjangkakan luruan monsun yang diramal melanda pada 8 hingga 14 Disember ini berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan dan mencetuskan gelombang kedua banjir di negeri Pantai Timur Semenanjung.
Berdasarkan Info Bencana JKM, setakat jam 4 petang tadi, seramai 58,796 mangsa membabitkan 18,157 keluarga masih ditempatkan di 203 PPS di tujuh negeri terjejas.
Sementara itu, Anwar menzahirkan rasa terharu kerana saranannya kepada sektor swasta untuk turut sama menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir, disambut baik.
“Saya terharu dalam masa singkat, secara spontan ramai yang telah hubungi pejabat saya dan menyatakan mereka sedia (membantu).
“Kita belum lagi uar-uarkan, kita tidak hubungi semua persatuan dan dewan perniagaan, tapi saya lihat ada kesediaan (menghulurkan bantuan).
“Dan saya kata biar saya hadir sendiri (Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI), saya nak beri mesej kepada rakyat, kita kerja berpasukan, komitmen ini menyeluruh dari semua kalangan masyarakat dan kaum,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.