Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir Sabah terus meningkat 1,054 malam ini

Seramai 993 mangsa banjir daripada 338 keluarga kini ditempatkan di tujuh PPS membabitkan daerah Pitas setakat malam ini. – Foto ihsan APM

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah terus meningkat kepada 1,054 penduduk daripada 355 keluarga, setakat jam 11 malam tadi.

Ia berbanding 845 penduduk daripada 276 keluarga, petang tadi.

Mereka kini ditempatkan di dua daerah di 10 pusat pemindahan sementara (PPS).

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri menerusi kenyataan memaklumkan, daerah Pitas kekal mencatat angka tertinggi iaitu seramai 993 mangsa daripada 338 keluarga dan kini ditempatkan di tujuh PPS.

“Bagaimanapun, Paitan pula mencatatkan bilangan mangsa banjir sama dengan statistik petang tadi iaitu seramai 61 mangsa daripada 17 keluarga.

“Semua penduduk terjejas di daerah itu ditempatkan di tiga PPS,” katanya.

Sementara itu, APM dalam kenyataan sama turut memaklumkan semua PPS membabitkan daerah Kota Marudu ditutup jam 1.20 tengah hari tadi.

Menurutnya, sebanyak 20 kawasan terbabit banjir di Pitas, manakala daerah Paitan membabitkan tiga kampung secara keseluruhannya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini