KUANTAN: Penduduk Orang Asli di Kampung Rancangan Penempatan Semula (RPS) Bukit Serbersihok dekat Muadzam Shah, Rompin Pahang yang ditenggelami banjir minggu lalu, memerlukan bantuan lebih ramai sukarelawan untuk membantu membersihkan 180 rumah mereka.
Ini ekoran banjir terburuk dalam sejarah penempatan Orang Asli berkenaan menyebabkan rumah dewan, masjid, surau, sekolah dan balai raya ditenggelami air hingga paras bumbung.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi, berkata air surut sepenuhnya, namun kesan bencana menyebabkan mangsa tidak dapat pulang ke rumah.
Katanya, kesan lumpur yang tebal menyebabkan mangsa banjir masih tinggal di dua pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu PPS Taman Bimbingan Kanak-Kanak Orang Asli Gadak dan PPS Dewan Bantura RPS Bukit Serok.
Menurutnya, kerja membersih rumah mangsa banjir dilakukan sejak Sabtu lalu oleh sukarelawan tetapi masih banyak yang tidak dapat dibersihkan kerana jumlah sukarelawan terhad.
“Kita memerlukan lebih ramai lagi sukarelawan untuk tampil membantu membersih rumah penduduk termasuk dewan, masjid, surau, balai raya dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Serok yang kini dipenuhi lumpur.
“Kerja membersih lumpur yang tebal diatas lantai dan melekat pada dinding rumah serta bangunan perlu dilakukan segera sebelum lumpur berkenaan kering yang menyebabkan kerja mencuci menjadi lebih sukar,” katanya yang turut bersama sukarelawan membersih SK Bukit Serok, di sini kelmarin.
Beliau berkata, JAKOA terus menyediakan bantuan makanan kepada penduduk di beberapa yang terjejas banjir, tanah runtuh dan terputus hubungan.
Johari berkata, pihaknya masih belum mendapat jumlah rumah yang rosak dan kerugian dialami berikutan bercana banjir.
Katanya, terdapat lebih enam kampung Orang Asli di daerah ini ditenggelami banjir, antara Kampung RPS Bukit Serok, Kampung Buluh Nipis, Kampung Pelam, Kampung Gadak, Kampung Buluh Nipis dan Kampung Aur.