JOHOR BAHRU: Ratusan penduduk Kampung Bukit Bendar, Bukit Kepong di Muar terputus hubungan selepas laluan keluar masuk ditenggelami banjir sejak enam hari lalu.
Mangsa terperangkap, Nor Hazimah Husin, 46, berkata, bagaimanapun kira-kira 60 rumah penduduk kampung itu tidak dinaiki air kerana berada di kawasan tinggi.
Menurutnya, laluan keluar masuk kampung melalui Bukit Kepong, Felda Maokil dan Chaah, Segamat yang berbukit, menyebabkan ia tenggelam hingga tidak boleh dilalui kenderaan kecuali bot dan sampan.
“Hari ini pun paras air bah masih lagi tinggi dan ia lebih buruk daripada bah besar pada 2006. Jalan utama tenggelam begitu juga laluan alternatif di ladang sawit.
“Kebanyakan penduduk termasuk saya sudah hampir terputus bekalan makanan terutama beras, selain keperluan ubat dan susu serta lampin pakai buang bayi.
“Dalam rumah saya misalnya ada 14 orang, termasuk tujuh anak dan seorang ibu saudara orang kurang upaya (OKU) yang minum susu khas tetapi hampir habis,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, terdapat anak muda kampung itu yang menjala ikan di kawasan bah untuk dijadikan makanan dan dia tidak ketinggalan membeli daripada mereka apabila ada lebihan ikan.
Terdahulu tular di media sosial rayuan penduduk Kampung Bukit Bendar yang hampir keputusan bekalan makanan selepas gagal keluar disebabkan laluan keluar masuk yang ditenggelami banjir.
Mengulas lanjut Nor Hazimah berkata, mereka menerima barang asas dipercayai daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal, antaranya beras, bawang dan makanan kering.
Namun wanita itu berkata, sumbangan berkenaan terhad dan tidak mencukupi untuk semua penduduk sekiranya banjir lambat surut.
Sementara itu, Dr Sahruddin ketika dihubungi meminta penduduk yang terputus bekalan makanan untuk memaklumkannya kepada ketua kampung bagi memudahkan pengagihan bantuan mulai malam ini.
“Bantuan bakul makanan ada diagihkan (di Kampung Bukit Bendar) namun akibat ada jalan yang terputus, maka perjalanan melalui FELDA Maokil dan FELCRA Bukit Kepong mengambil masa tiga jam.
“Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas inisiatif bantuan bencana banjir ini,” katanya.