JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 3,779 orang daripada 1,080 keluarga yang kini ditempatkan di 36 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah yang terjejas, setakat jam 4 petang ini.
Peningkatan ini dibandingkan dengan 3,449 penduduk daripada 1,023 keluarga yang ditempatkan di 36 PPS di lima daerah terjejas, 8 pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata walaupun hujan lebat lebih 24 jam kelmarin sudah mulai reda, namun ramalan hujan lebat berterusan tahap waspada dikeluarkan membabitkan enam daerah, tengah hari tadi.
Beliau berkata, enam daerah itu membabitkan Kota Tinggi, Kulai, Johor Bahru, Kluang, Pontian dan Mersing.
Kota Tinggi kekal daerah paling terjejas dengan mangsa banjir meningkat kepada 1,174 penduduk daripada 361 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS
“Ia diikuti dengan Johor Bahru dengan mangsa banjirnya melonjak kepada 768 penduduk daripada 226 keluarga di lima PPS.
“Mangsa banjir di Kulai turut bertambah kepada 735 penduduk daripada 188 keluarga yang ditempatkan di lima PPS, petang ini.
“Di Pontian, jumlah mangsa banjir turut melonjak sekali ganda kepada 556 penduduk daripada 146 keluarga di lapan PPS.
“Manakala mangsa banjir di Kluang turut melonjak kepada 546 penduduk daripada 159 keluarga di lima PPS,” katanya dalam kenyataan, petang ini.
Dalam pada itu, Azmi yang juga Setiausaha Negeri Johor memaklumkan hanya Sungai Kahang, Kluang, setakat ini yang masih merekodkan paras bahaya.
“Tiga sungai di Johor pula berada pada paras amaran membabitkan Sungai Lenik, Batu Pahat; Sungai Sayong di Kampung Siam , Kulai selain Sungai Skudai, Kampung Pasir, Johor Bahru.
“Manakala empat lagi sungai berada pada paras waspada membabitkan Sungai Muar di Segamat; Sungai Skudai di Kampung Laut dan Sungai Tiram, di Johor Bahru selain Sungai Johor di Kota Tinggi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.