comscore
Tumpuan :
Bencana

Mangsa banjir Johor menurun, 114 PPS masih beroperasi

Penduduk mula pulang kerumah berikutan paras air banjir sedikit menurun di Parit Warijo, Seri Medan, Batu Pahat, Johor – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor terus mencatatkan trend penurunan kepada 35,230 orang setakat 4 petang ini berbanding 36,086 orang 8 pagi tadi.

Penurunan tersebut susulan penutupan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Dewan Parit Jayus Darat di daerah Batu Pahat.

Menerusi kenyataan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), ini sekali gus menjadikan 114 PPS yang masih beroperasi di empat daerah setakat ini.

“Batu Pahat daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa 35,062 daripada 9,867 keluarga; diikuti Segamat 102 orang (29 keluarga); Muar dengan 42 orang (14 keluarga); dan Tangkak 24 orang (tiga keluarga),” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, tinjauan juga mendapati penduduk masih belum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing berikutan paras air yang tidak menunjukkan perubahan ketara atau banjir termenung.

FOTO: NSTP

Sebahagian besar penduduk juga masih belum dapat membersihkan rumah mereka, misalnya di Kampung Parit Jayus Darat dan Kampung Haji Khalid, yang menyaksikan paras air masih berada pada paras lutut, pagi tadi.

Dalam pada itu, cuaca cerah diramalkan di sembilan daerah pada petang ini kecuali Batu Pahat yang dijangka mendung.

Jabatan Kerja Raya Batu Pahat menerusi hantaran di Facebook hari ini juga memaklumkan empat laluan di daerah Batu Pahat masih ditutup untuk kenderaan ringan akibat dinaiki air sehingga 0.43 meter.

Jalan tersebut adalah Jalan Parit Haji Arif/Sri Dayung berhampiran Jambatan Sri Dayung, Jalan Parit Jambi berhampiran Jambatan Parit Jambi, sepanjang Jalan Parit Warijo dan Parit Haji Arif berhampiran Klinik Kesihatan Sri Medan. – BERNAMA

Loading...
Terkini