Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir dinasihat tidak merisikokan nyawa anggota penyelamat

Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay ditemui Ketika melawat Taman Perumahan Rakyat, Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong yang terjejas banjir.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KEMAMAN: Tindakan segelintir mangsa banjir yang enggan berpindah, mampu membahayakan nyawa anggota penyelamat.

Berikutan itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menasihati mereka yang terjejas untuk mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Kalau dah diberi arahan berpindah, pindahlah. Ini untuk keselamatan mereka dan kalau lambat berpindah akan menjejaskan operasi menyelamat dan membahayakan pasukan penyelamat yang dihantar ke lokasi untuk menyelamatkan mereka.

“Tak perlu sampai tunggu tindakan undang-undang diambil, kita beri arahan berpindah demi kepentingan mereka juga. Keengganan mereka berbuat demikian boleh membahayakan nyawa sendiri dan keluarga,” katanya ketika ditemui selepas melawat Taman Perumahan Rakyat, Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong yang terjejas banjir.

Setakat jam 3 petang tadi, seramai 3,341 mangsa banjir membabitkan 866 keluarga di Daerah Kemaman dipindahkan di 17 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Ayob Khan turut menasihati penduduk yang tinggal di kawasan berisiko di Daerah Kemaman utuk berwaspada dengan amaran hujan lebat dan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku malam ini sehingga awal pagi esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini