KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Kemaman dan Dungun yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat kepada 4,904 orang setakat jam 4 petang tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, 27 PPS sudah dibuka di dua daerah berkenaan yang menempatkan 1,181 keluarga.
Daerah Kemaman, mencatatkan mangsa tertinggi iaitu seramai 4,608 mangsa daripada 1,114 keluarga yang berlindung di 20 PPS.
Di Dungun, tujuh PPS dibuka menempatkan 296 mangsa daripada 67 keluarga.
Sementara itu melalui laman web public InfoBanjir, Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih berada pada paras bahaya iaitu 14.08 meter berbanding 14 meter.
Tiga sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap (F1) Setiu dengan bacaan 20.11 meter berbanding 20 meter.
Dua lagi sungai pada bacaan amaran iaitu Sungai Dungun di Kuala Jengal dengan bacaan 20.2 meter berbanding 20 meter dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik dengan bacaan 2.49 meter berbanding 1.9 meter.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.