comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Mangsa banjir di Terengganu meningkat

 

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA TERENGGANU: Bencana banjir hari kedua yang melanda Terengganu bertambah buruk.

Jumlah mangsa terus meningkat kepada 1,482 membabitkan 410 keluarga setakat jam 10 pagi tadi.

Terdapat 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu tujuh di Kuala Nerus, empat di Kuala Terengganu, dua di Setiu dan satu di Marang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah mangsa tertinggi ketika ini ialah di daerah Kuala Nerus iaitu 722 orang daripada 193 keluarga.

Kesemua mangsa ditempatkan di tujuh PPS iaitu Dewan Serbaguna Tok Jembal, Dewan Flat Batin Perdana, Sekolah Kebangsaan Teluk Ketapang, SK Bukit Nenas, SK Bukit Tunggal, Dewan Serbaguna Wakaf Catur dan Balairaya Banggol Tok Jiring.

Di Kuala Terengganu pula, jumlah mangsa ialah seramai 602 mangsa daripada 179 keluarga yang ditempatkan di empat PPS iaitu di SK Chendering, SK Atas Tol, SK Pasir Panjang dan SK Gong Tok Nasek.

Di Setiu, terdapat dua PPS beroperasi iaitu Balairaya Kampung Bintang dan Balairaya Kampung Bari Besar yang menempatkan 26 mangsa daripada enam keluarga.

Di Marang, terdapat satu PPS baru dibuka untuk 132 mangsa daripada 32 keluarga di SK Bukit Gasing.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia)  mengeluarkan ramalan cuaca hujan berterusan di Terengganu (amaran buruk dan waspada) hingga Khamis ini.

Orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan maklumat dan amaran semasa yang tepat melalui laman web JPS di pautan publicinfobanjir.water.gov.my, facebook @PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS_InfoBanjir.

Bagi maklumat cuaca pula, orang ramai boleh memuat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini