Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Sarawak meningkat kepada 2,981 orang

Keadaan banjir di Sarawak, hari ini. – FOTO: Media Sosial

KUCHING: Jumlah mangsa banjir di Sarawak meningkat kepada 2,981 orang daripada 862 keluarga, petang tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, mangsa kini ditempatkan di 36 pusat pemindahan sementara (PPS).

Dua lagi PPS masing-masing menempatkan 71 mangsa kebakaran rumah panjang daripada 15 di Kanowit dan 105 mangsa daripada 25 keluarga akibat tanah runtuh di Miri.

Ia sekali gus menjadikan jumlah PPS yang masih aktif di seluruh Sarawak kini sebanyak 38 dan menempatkan mangsa seramai 3,157 orang daripada 902 keluarga sehingga jam 8 malam ini.

Daripada 36 PPS mangsa banjir, Serian mencatat jumlah tertinggi dengan 15 PPS, Bintulu (5), Kuching (4), Samarahan (5) dan Miri (4) dan Sibu (3).

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta agensi berkaitan di Sarawak digerakkan dengan segera bagi memastikan keperluan asas dan sokongan psikososial disalurkan kepada semua mangsa banjir.

Beliau menggesa semua pihak yang terkesan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Bagi individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu, beliau berkata sumbangan boleh disalurkan melalui JKM atau pertubuhan yang diiktiraf.

Menurutnya lagi, bagi mendapatkan maklumat lanjut atau bantuan, orang awam atau mangsa yang terkesan boleh menghubungi Talian Kasih 15999 atau pejabat bahagian serta daerah JKM terdekat.

Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Kuching di talian 082-507 600, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Bau 082-763 044, PKMB Serian 082-892 288, PKMD Simunjan 082-803 707, PKMB Bintulu 086-313 675 dan PKMB Miri 085-432 960.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini