KOTA KINABALU: Mangsa banjir Sabah terus menunjukkan penurunan pagi ini.
Setakat jam 9 pagi tadi, seramai 196 mangsa banjir membabitkan 55 keluarga masih berada di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dalam kenyataan menyatakan, dua daerah yang masih terjejas banjir adalah Tongod dan Kinabatangan.
“Daerah Tongod kekal merekodkan 155 mangsa membabitkan 41 keluarga.
Kesemua penduduk ini masih berada di dua PPS ketika ini.
“Seramai 92 mangsa daripada 24 keluarga berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kenang-Kenangan, manakala selebihnya 63 mangsa membabitkan 17 keluarga masih di tempatkan di PPS SK Keramuk,” katanya.
Dalam pada itu, APM menyatakan Kinabatangan mencatatkan 41 orang mangsa membabitkan 14 keluarga yang kini berada di satu PPS.
Menurut APM, kesemua penduduk dipindahkan ke PPS Sekolah Agama Rendah Pekan Bukit Garam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.