Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di PPS bebas COVID-19

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus (kanan) melakukan pemeriksaan kesihatan keatas mangsa banjir yang mendiami Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Cherating. FOTO: NSTP

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mendapati tiada kes jangkitan COVID-19 dan penyakit bawaan air pada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Nor Azimi Yunus, berkata pihaknya juga tidak menemui kes tifoid, cacar air, taun, leptospirosis, penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) dan denggi. Sehingga semalam seramai 1,014 mangsa banjir telah dibuat saringan gejala COVID-19 sebelum memasuki PPS.

Menurutnya, daripada jumlah mangsa banjir diperiksa itu, 100 kes (9.9 peratus) dikesan mempunyai masalah kesihatan lain seperti batuk selsema (62 kes), penyakit kulit (18 kes), bergejala demam (15 kes), acute gastroentritis (3 kes) dan konjuntivitis (2 kes).

“Bilik Gerakan Banjir Pusat Kesediaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) JKNP telah dibuka sejak 12 Disember lalu bagi mengkoordinasipasukan perubatan dan kesihatan di lokaliti bencana.

“Sebanyak 50 PPS telah dibuka di Lipis, Raub, Temerloh, Jerantut, Bera dan Kuantan dengan kumulatif mangsa seramai 2,965 orang,” katanya ditemui selepas melawat PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating, di sini hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, JKNP telah menyediakan 272 pasukan terdiri 149 pasukan perubatan dan 123 pasukan kesihatan bagi menghadapi bencana banjir kali ini.

Beliau berkata, pasukan perubatan berperanan memberi rawatan di PPS manakala pasukan kesihatan melakukan aktiviti pencegahan, pemantauan dan kawalan penyakit serta pemeriksaan persekitaran PPS.

“Sejak 17 November lalu sehingga kini, secara kumulatif terdapat 70 pasukan perubatan dan 67 pasukan kesihatan telah ditugaskan di PPS yang dibuka di tujuh daerah terjejas banjir.

“JKNP turut menyediakan 95 pasukan Kesihatan Mental dan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) bagi menangani isu kesihatan mental dalam kalangan mangsa banjir di PPS. Sokongan psikososial telah diberikan kepada 356 mangsa banjir dan 29 kepada petugas barisan hadapan.

“Antara aktiviti psikososial yang diberikan adalah relaksasi, terapi seni dan psikopendidikan,” katanya.

Tambahnya lagi, orang ramai dinasihatkan mengambil air minuman dan makanan yang bersih serta tidak tercemar bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, taun, hepatitis A, tifoid dan acute gastroenteritis.

“Sentiasa amalkan tatacara membasuh tangan yang betul dan penjagaan kebersihan diri semasa bencana banjir.

“Selain itu sentiasa gunakan alat pelindung diri seperti but dan sarung tangan getah semasa aktiviti-aktiviti pembersihan pasca banjir bagi mengurangkan risiko penyakit berjangkit seperti leptospirosis, melioidosis dan lain-lain penyakit bawaan air dan makanan

“Jika mengalami gejala penyakit seperti demam, sakit perut, muntah, cirit-birit, batuk, sila dapatkan rawatan segera dari pasukan perubatan di PPS atau fasiliti kesihatan yang berhampiran,” katanya.

Loading...
Terkini