KANGAR: Jumlah mangsa yang ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir di Perlis meningkat sebanyak 149 mangsa berikutan banjir yang semakin memburuk di negeri berkenaan.
Sehingga jam 9 malam ini, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Tinggi di Padang Besar mencatatkan jumlah pemindahan mangsa banjir yang tinggi iaitu seramai 106 orang manakala PPS SK Guar Nangka, Arau pula merekodkan mangsa banjir sehingga kini seramai 43 orang.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, mangsa yang dipindahkan ini terdiri daripada penduduk Kampung Titi Tinggi, Padang Besar dan Kampung Rambai, Arau.
“Keluarga dari Kampung Titi Tinggi adalah seramai 33 keluarga dan Kampung Rambai pula adalah seramai 10 keluarga.
“Dua sungai di Perlis iaitu Sungai Jarum di Padang Besar dan Sungai Gial merekodkan paras bahaya dimana Sungai Jarum mencatatkan paras 33.91 meter (m) berbanding paras normal iaitu 30.59 m.
“Manakala Sungai Gial di Arau merekodkan 9.43 m berbanding paras normal iaitu 7.46 m,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, pemindahan mangsa banjir dijangka akan bertambah berikutan keadaan cuaca di Perlis yang masih hujan sejak semalam.
“Kita menjangkakan akan berlaku pertambahan mangsa banjir berikutan hujan yang masih berlaku.
“Malah, ‘trend’ air sungai di beberapa kawasan juga semakin meningkat,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.