comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Perak, Selangor meningkat

KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda dua negeri Selangor dan Perak mencatatkan peningkatan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 12 tengah hari tadi.

Di Selangor, sebanyak 754 mangsa banjir daripada 189 keluarga ditempatkan di 11 PPS berbanding 740 orang daripada 186 keluarga yang dilaporkan 8 pagi tadi.

Laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan 11 PPS yang dibuka membabitkan daerah Sepang (lima), Hulu Langat (dua), Kuala Langat (tiga) dan Subang Jaya (satu).

Sementara itu di Perak, jumlah mangsa terus meningkat dengan 477 daripada 147 keluarga ditempatkan di lima PPS di dua daerah yang terjejas berbanding 470 orang daripada 145 keluarga pagi tadi.

Chikus di daerah Hilir Perak menjadi kawasan baharu terjejas banjir selain daerah Kerian yang turut terjejas.

Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong masih pada tahap bahaya iaitu 4.30 meter (m), manakala Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pada paras berjaga-jaga iaitu 13.36m.

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini