comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Perak meningkat, Hilir Perak daerah paling terjejas

Mangsa banjir di Perak terus mencatatkan peningkatan pagi ini dengan 419 orang daripada 121 keluarga dipindahkan ke lima PPS di tiga daerah. – FOTO: NSTP/APM

TELUK INTAN: Mangsa banjir di Perak terus mencatatkan peningkatan pagi ini dengan 419 orang daripada 121 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah, berbanding 388 orang daripada 110 keluarga petang semalam.

Laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak berkata, setakat jam 8 pagi menunjukkan, sebuah PPS baru dibuka di daerah Hulu Perak iaitu PPS Dewan Orang Ramai Kampung Kuak Luar pada jam 11.30 malam tadi membabitkan 40 mangsa daripada 14 keluarga.

Mereka terdiri daripada penduduk Kampung Paya Kuak Luar, Kampung Bukit Serdang Air Panas, Kampung Kuak Tengah dan Kampung Raja Kayu yang terjejas akibat banjir berpunca hujan lebat berterusan selama tiga jam malam tadi.

Sementara itu, empat lagi PPS iaitu PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak (dibuka 23 Oktober lalu), PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap (dibuka 1 November lalu) di daerah Hilir Perak, serta PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak (dibuka 24 Oktober lalu) dan PPS SK Alor Pongsu (dibuka 30 Oktober lalu) masih berstatus aktif.

Hilir Perak menjadi daerah paling terjejas di Perak dengan merekodkan 222 mangsa (64 keluarga) diikuti, daerah Kerian yang merekodkan sejumlah 157 mangsa (43 keluarga).

“PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak menempatkan 171 orang (50 keluarga), manakala PPS Dewan MPTI Langkap 51 orang (14 keluarga).

“PPS SK Changkat Lobak pula dihuni 100 mangsa (24 keluarga), sementara baki 57 mangsa (19 keluarga) ditempatkan di PPS SK Alor Pongsu,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melaporkan paras air Sungai Bidor di Changkat Jong dekat sini mencecah 3.81 meter (m), melepasi paras bahaya 3.50m.

Anggota APM membuat tinjauan pagi ini di sekitar kawasan Changkat Jong yang terkesan banjir. – Foto NSTP/APM

Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pula berada pada paras berjaga-jaga apabila merekodkan bacaan 13.64m (paras berjaga-jaga bagi Sungai Kinta, 13.00m).

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak turut melaporkan penutupan tiga jalan persekutuan di daerah Selama, Muallim dan Kerian berikutan situasi banjir semasa.

Jalan yang terjejas adalah A021 Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di daerah Selama ditutup kepada semua jenis kenderaan dan pengguna dinasihatkan menggunakan jalan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid, begitu juga F193 Jalan Proton City di daerah Muallim turut ditutup sepenuh kepada semua kenderaan kerana kedua-dua arah laluan terhalang.

FT147 Jalan Selama di daerah Kerian pula hanya dibuka kepada kenderaan berat, manakala pengguna lain dinasihatkan menggunakan jalan alternatif A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini