KUALA LUMPUR: Situasi banjir yang masih melanda dua negeri iatu Kelantan dan Perak setakat pagi ini menunjukkan petanda positif apabila mencatatkan pengurangan mangsa.
Di Kelantan seramai 2927 mangsa terdiri daripada 908 masih ditempatkan di 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menyaksikan satu daerah terjejas di Pasir Mas.
Manakala di Perak mangsa berkurangan dengan seramai 36 orang daripada 10 keluarga dipindahkan ke satu PPS berbanding 60 orang daripada 15 keluarga yang direkodkan jam 6 petang semalam.
Laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak setakat jam 8 pagi memaklumkan, semua mangsa berlindung di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak di daerah Hilir Perak.
Kawasan yang masih terjejas banjir adalah Batu 7, Batu 8, Batu 9, Lorong Kedah, Lorong Belakang Klinik, Lorong Sidang Osman, Lorong Imam Khairi dan Lorong Mesra dalam Mukim Changkat Jong.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak pula melaporkan paras air Sungai Bidor di Changkat Jong, dekat sini mencecah 3.55 meter (m), melepasi paras bahaya 3.50 m.