KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Perak dan Kedah meningkat sedikit, pagi tadi.
Manakala di Perlis keadaan banjir pulih sepenuhnya apabila PPS di Dewan Titi Tinggi Hilir di Padang Besar telah ditutup pada jam 8 pagi tadi.
Banjir di Perak menyaksikan jumlah mangsa di tiga daerah di Perak bertambah kepada 217 orang daripada 62 keluarga pagi ini berbanding 210 orang daripada 61 keluarga, malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan di hilir Perak, dua PPS masih dibuka iaitu PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak yang menempatkan 109 orang daripada 32 keluarga manakala di PPS Dewan Serbaguna Chikus seramai 19 orang daripada lima keluarga.
“Di Kerian, 23 orang daripada empat keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak manakala jumlah mangsa banjir di PPS SK Alor Pongsu juga kekal 57 orang daripada 19 keluarga,” menurutnya.
“Di Kinta pula, sembilan orang daripada dua keluarga dari Taman Meru 2c ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Taman Meru 2a manakala kesemua 19 mangsa daripada enam keluarga yang berlindung di Dewan Orang Ramai Kampung Sri Kinta telah pulang ke kediaman masing-masing,” menurut kenyataan itu.
Di kedah, jumlah mangsa banjir juga meningkat kepada 107 mangsa pagi tadi berbanding 31 mangsa malam tadi, selepas dua PPS dibuka di daerah Kota Setar.
Ketua bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata dua PPS itu adalah SK Titi Gajah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah.
“kedua-dua PPS ini masing-masing dibuka pada 5.30 petang dan 11 malam semalam bagi menempatkan seramai 76 mangsa daripada 27 keluarga di daerah Kota Setar yang terjejas banjir susulan hujan lebat pada sebelah petang.”
”Antara kawasan yang terjejas adalah kampung Seberang Chegar, kampung Alor Gunung, kampung Pulau Kerengga, kampung Alor Senjaya, kampung Alor Perang, kampung Bohor dan kampung Anak Bukit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Satu lagi daerah yang terjejas adalah Kubang Pasu dengan 31 orang daripada tujuh keluarga masih kekal berada di SK Malau.
Sementara itu, di Perlis, kesemua 41 mangsa daripada 12 keluarga yang masih berada di PPS malam tadi telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi tadi setelah air surut. – BERNAMA
| ARTIKEL BERKAITAN
- Mangsa terdedah banjir akan dipindahkan lebih awal – Zahid
- [VIDEO] Dua keluarga dipindahkan akibat banjir kilat
- [VIDEO] Banjir kilat dan ribut di Meru, 40 rumah rosak
- Banjir kilat landa persimpangan Kiwa lagi
- Banjir kilat di pusat beli-belah mulai surut
- [VIDEO] Bomba pindahkan mangsa banjir kilat di Sungai Petani