Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Perak berkurangan

Foto hiasan

IPOH: Situasi banjir di Perak beransur pulih pagi ini apabila hanya 557 mangsa daripada 137 keluarga di tiga daerah dipindahkan ke lapan pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 595 orang daripada 148 keluarga pada jam 4 petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, setakat jam 8 pagi ini, daerah Hilir Perak adalah paling terjejas dengan merekodkan 284 mangsa (83 keluarga) yang ditempatkan di tiga PPS.

Daripada jumlah itu, seramai 147 mangsa (42 keluarga) berlindung di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Langkap.

PPS Dewan Serbaguna Chikus menempatkan 91 mangsa (24 keluarga) dan PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak dihuni 46 mangsa (17 keluarga).

Ia diikuti daerah Perak Tengah yang mencatatkan pemindahan seramai 211 mangsa (71 keluarga) ke tiga PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Sagor, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muzafar Shah I dan Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang.

Di daerah Kerian, 62 mangsa (19 keluarga) dipindahkan ke dua PPS iaitu PPS SK Changkat Lobak menempatkan 35 orang (11 keluarga) dan 27 mangsa (lapan keluarga) berlindung di PPS SK Parit Haji Aman, Bagan Serai.

Semalam, media melaporkan tiga PPS di kawasan Sungai Siput dalam daerah Kuala Kangsar dan satu PPS di daerah Kampar ditutup secara rasmi selepas mangsa keadaan banjir di daerah terbabit pulih sepenuhnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini