KOTA BHARU : Cuaca baik sejak beberapa hari lalu menyaksikan mangsa banjir di Kelantan terus berkurangan kepada 10,642 orang sehingga jam 8 pagi tadi, berbanding 12,830 orang malam tadi.
Semua mangsa banjir terbabit daripada 3,495 keluarga yang ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS).
Malah, daripada sembilan daerah yang dilanda banjir sebelum ini, kini tinggal dua daerah saja yang masih dilanda bencana itu iaitu Pasir Mas dan Tumpat.
Berdasarkan Sekretariat Pengurusan Bencana Kelantan, Pasir Mas merekodkan 8,300 mangsa membabitkan 2,720 keluarga yang ditempatkan di 21 PPS.
Tumpat pula merekodkan 2,342 mangsa daripada 775 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS.
Sementara itu, laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my merekodkan, dua sungai utama di negeri itu masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang dengan bacaan 9.51 meter dan Sungai Golok di Kuala Jambu merekodkan 2.79 meter.