comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 7,469 mangsa di 42 PPS

Mangsa banjir dari Kampung Banggol Besi yang berpindah ke Pusat Pemindahan banjir di Pusat latihan sukan. – FOTO: NSTP

ALOR SETAR: Keadaan banjir di Kedah semakin buruk dengan bilangan mangsa terus bertambah kepada 7,469 orang daripada 2,420 keluarga dan ditempatkan ditempatkan di 42 pusat pemindahan sementara (PPS).

Jumlah itu membabitkan keseluruhan mangsa di enam daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang, Kuala Muda, Bandar Baharu dan Pokok Sena setakat jam 8 pagi tadi.

Jumlah itu meningkat berbanding 6,868 mangsa daripada 2,194 keluarga yang dilaporkan setakat jam 9 malam tadi.

Berdasarkan Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Kota Setar mencatatkan peningkatan mendadak dengan 3,292 mangsa daripada 1,072 keluarga berbanding 1,006 keluarga yang direkodkan semalam.

Semua mangsa banjir di daerah itu ditempatkan di 13 PPS selepas beberapa kampung di kawasan terbabit dinaiki air.

Daerah Kubang Pasu pula terus menunjukkan pertambahan apabila seramai 1,811 mangsa daripada 664 keluarga ditempatkan di 12 PPS berbanding 1,602 mangsa daripada 562 keluarga malam tadi.

Selain itu, mangsa banjir di lima PPS juga meningkat kepada 952 mangsa daripada 290 keluarga berbanding malam tadi iaitu seramai 910 mangsa daripada 270 keluarga sahaja.

Dalam pada itu, mangsa di daerah Pendang pula menunjukkan peningkatan apabila 1,127 mangsa daripada 329 keluarga ditempatkan di lapan PPS berbanding 950 mangsa daripada 266 keluarga yang direkodkan malam tadi.

Selain itu, daerah Kuala Muda pula masih kekal kepada 184 mangsa daripada 61 keluarga di tiga PPS begitu juga Bandar Baharu turut kekal dengan 128 mangsa daripada 29 keluarga.

Dalam pada itu, berdasarkan laporan melalui laman web Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan tiga sungai di daerah Kota Setar menunjukkan trend menaik dan melepasi tahap bahaya setakat jam 7 pagi hari ini.

Sungai terbabit adalah Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Sungai Kedah di Jambatan Lebuh raya dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman.

Selain itu, dua sungai di daerah Kubang Pasu iaitu Sungai Bata di Kampung Bata dan Sungai Padang Terap di Kepala Batas juga melepasi paras bahaya.

Bagaimanapun, Sungai Padang Terap menunjukkan trend penurunan manakala Sungai Bata menunjukkan trend menaik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini