comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 2,771 mangsa

Anggota polis membantu memindahkan mangsa banjir ke PPS di Bukit Hijau, Derang di Pokok Sena selepas kawasan itu dilanda banjir. FOTO: NSTP

ALOR SETAR: Mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 2,771 orang daripada 924 keluarga yang dipindahkan ke 21 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah di negeri ini.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, jumlah mangsa itu dilaporkan setakat jam 8 malam ini berbanding 2,379 mangsa daripada 806 keluarga pada jam 4 petang tadi.

Beliau berkata, daerah Kubang Pasu mencatatkan jumlah mangsa yang paling ramai iaitu 1,076 orang daripada 398 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS.

“Daerah Kota Setar pula mencatatkan seramai 839 mangsa daripada 260 keluarga di enam PPS manakala Pokok Sena seramai 479 mangsa daripada 168 keluarga di empat PPS.

“Sementara itu, daerah Pendang pula mencatatkan seramai 377 mangsa daripada 98 keluarga di dua PPS setakat jam 8 malam ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lima PPS di daerah Baling pula ditutup sepenuhnya jam 10 pagi hari ini selepas kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, laman Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, lapan sungai di negeri ini masih menunjukkan bacaan melepasi paras bahaya setakat jam 8 malam tadi.

Kesemua sungai terbabit adalah di tiga di daerah Kota Setar, dua sungai di daerah Kubang Pasu, satu di daerah Padang Terap dan satu di daerah Pendang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini