comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 2,039 orang pada jam 11 malam

Operasi memindahkan mangsa banjir ke PPS di SM Agama Derang di Pokok Sena. – FOTO: Ihsan bomba

ALOR SETAR: Banjir yang melanda enam daerah di Kedah bertambah buruk malam ini, dengan bilangan mangsa terus meningkat.

Berdasarkan rekod sehingga jam 11.05 malam ini, sejumlah 2,039 mangsa membabitkan 341 keluarga ditempatkan di 11 pusat pemindahan yang dibuka.

Jumlah itu meningkat sekali ganda hanya dalam tempoh tiga jam berbanding 1,018 mangsa yang dipindahkan sehingga jam 8 malam tadi, dengan hujan yang masih lebat antara penyumbang utama.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin, berkata pihaknya kini bersiap sedia membuka PPS di daerah dilanda banjir yang membabitkan jumlah mangsa ramai bagi memastikan mereka mendapati bekalan makanan mencukupi.

FOTO: Ihsan bomba

Sementara itu, operasi penyelamatan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena dan Kuala Nerang dilakukan di kawasan Kampung Derang yang dinaiki air sejak petang tadi.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata semua mangsa dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Agama (SMA) Derang di Pokok Sena.

Operasi penyelamatan dilakukan menggunakan bot tamat sepenuhnya jam 10.18 malam.

“Untuk situasi semasa ini, ada pasukan bersedia di lokasi kejadian.

“Jika ada apa-apa, mereka akan bergerak terus ke lokasi untuk melakukan penyelamatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini