ALOR SETAR: Mangsa banjir terus bertambah di Kedah dengan paras terkini empat sungai sudah melepasi tahap bahaya sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk di kawasan berisiko untuk berpindah segera jika rumah dinaiki air.
Setakat jam 12 tengah malam tadi, jumlah mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga daerah meningkat kepada 228 orang daripada 69 keluarga.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, mereka ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, PPS Dewan Kampung Tradisi dan sebuah PPS di daerah Kota Setar.
“Kesemua mangsa terdiri daripada penduduk Kampung Nangmah, Kampung Paya Nongmi, Kampung Paya Lantau, Kampung Beru, Kampung Kubang Kayu dan Kampung Bendang Tok Leh di Mukim Temin,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Muaz berkata, tiga kampung di Pendang turut dinaiki air iaitu Kampung Batu Hampar Kanan, Kampung Belakang Pendang dan Kampung Banggol Kambing.
Manakala di daerah Kuala Muda, empat kampung di dua mukim turut terjejas akibat banjir iaitu di Kampung Jerai dan Kampung Sungkap Para (Mukim Teloi Kiri) manakala Kampung Masjid Haji Ngah dan Kampung Masjid di Mukim Semeling.
“Bagaimanapun tiada PPS dibuka di kedua-dua daerah berkenaan, setakat ini.
”APM Kedah sentiasa siap siaga selepas menerima notis waspada hujan sehingga 27 September (esok) dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” katanya.
Mohd Muaz berkata, berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras sungai terkini menunjukkan empat sungai iaitu Sungai Padang Terap di Kepala Batas di Kubang Pasu mencatatkan 4.01 meter, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di daerah Kota Setar (1.91 meter), Sungai Pendang di Pekan Pendang (2.8 meter) dan Sungai Laka di Kampung Padang Pasir di Kubang Pasu (22.41 meter).
Katanya, kesemua sungai berkenaan sudah melepasi tahap bahaya.
“Setakat ini jumlah keanggotaan APM Kedah adalah seramai 603 orang, 13 buah lori penyelamat, 83 buah bot penyelamat dan lapan buah ambulan yang digunakan untuk operasi penyelamatan banjir,” katanya.