comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Kedah mencecah hampir 1,500 orang

Pengarah JKM Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin (kanan) menunjukkan Kod QR yang perlu diimbas mangsa banjir ketika mendaftar di PPS di negeri ini bagi membolehkan bantuan diterima. – FOTO: NSTP

Oleh: Selwam Arjunan

ALOR SETAR: Bilangan mangsa banjir yang terjejas di negeri Kedah susulan cuaca buruk mencecah 1,435 orang setakat jam 8.45 malam Selasa.

Mereka dipindahkan ke 11 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di enam daerah di negeri berkenaan.

Pengarah JKM Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, 1,435 mangsa terdiri daripada 284 keluarga di enam daerah terjejas.

“Daerah Pendang menempatkan 595 mangsa, Pokok Sena 466 mangsa, Kubang Pasu 218 mangsa.

“Manakala Daerah Kulim pula mempunyai 108 mangsa, Kuala Muda 48 mangsa dan Kota Setar dengan satu PPS belum ada mangsa dipindahkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Dalam kenyataan hari ini, MetMalaysia memaklumkan amaran yang itu berkuat kuasa sehingga Khamis ini.

Amaran itu dikeluarkan hasil analisis beberapa model cuaca dijalankan MetMalaysia terhadap penumpuan angin yang berlaku di utara Semenanjung dan barat Sabah yang dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.

Keadaan itu, kata MetMalaysia, berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh lebih panjang di kawasan terbabit, serta angin kencang serta laut bergelora di perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka Utara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini