Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Kedah dan Johor meningkat

Foto hiasan

ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 439 mangsa daripada 122 keluarga yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah setakat jam 8 pagi hari ini.

Jumlah itu meningkat berbanding 305 mangsa daripada 89 keluarga yang dilaporkan pada jam 8 malam tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata sebuah lagi PPS dibuka di daerah Kubang Pasu menjadikan keseluruhan PPS di daerah itu adalah tiga buah.

Muhammad Suhaimi berkata, semua jumlah mangsa terdiri daripada 133 lelaki dewasa, 162 wanita dewasa, 134 kanak-kanak, 10 bayi dan 22 warga emas.

Sementara itu di Johor Bahru, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata mangsa banjir setakat pagi ini 601 daripada 163 keluarga.

Semua mangsa ditempatkan di lapan buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kluang, Pontian dan Batu Pahat.

“Jumlah itu sedikit meningkat berbanding petang semalam yang mencatatkan penurunan apabila seramai 530 mangsa daripada 147 keluarga ditempatkan di lapan PPS di tiga daerah terbabit.

“Di Kluang terdapat empat PPS masih lagi dibuka menempatkan 334 mangsa daripada 90 keluarga.

“Peningkatan membabitkan mangsa banjir dari kawasan kampung Sungai Linau iaitu seramai 177 mangsa daripada 48 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan Jabatan Perairan dan Saliran (JPS), hanya sebatang sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Sembrong di Batu Dua Sembrong di Batu Pahat (3.23 meter).

Enam sungai berada pada paras waspada iaitu Sungai Kesang di Sungai Tangkak Kampung Sri Makmor (3.36 meter), Sungai Sarang buaya di Muar (2.09 meter), Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak (2.62 meter), Sungai Jemaluang di Sungai Paya Dato dekat Mersing (1.16 meter), Sungai Sungai Sedili Kecil di Kota Tinggi (2.15 meter) dan Sungai Punggai di Kota Tinggi (1.26 meter).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini