comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Kedah berkurangan, lima sungai lepasi paras bahaya

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Zainol Abidin Mohamad (kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Padang Halban, Changlun.-Foto: NSTP

ALOR SETAR: Mangsa banjir di Kedah berkurangan kepada 325 mangsa daripada 93 keluarga di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah setakat jam 4 petang hari ini.

Jumlah itu berkurangan berbanding 338 mangsa daripada 100 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS itu setakat jam 8 pagi tadi.

Setakat ini tiga PPS yang aktif adalah dua di daerah Kubang Pasu manakala sebuah lagi di daerah Pendang.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, di daerah Kubang Pasu, PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun menempatkan seramai 130 mangsa daripada 40 keluarga manakala Dewan PPK Lubuk Batu menempatkan seramai 54 mangsa daripada 22 keluarga.

“Daerah Kubang Pasu yang dinaiki air akibat banjir kilat adalah di 21 kawasan iaitu Kampung Nangmah, Kampung Belakang Sekolah Kebangsaan Dato Wan Kemara, Kampung Belakang T Hotel, Kampung Kubang Pasu, Kampung Paya Lantau, Kampung Paya Nongmi, Kampung Belukar, Kampung Bendang Tok Leh.

“Selain itu, Kampung Padang Halban, Kampung Belakang Balai Polis, Belakang Taman Pertama, Pekan Lama Changlun, Kampung Padang Pasir, Belakang SMK Changlun, Kampung Tebing, Kampung Kota Mengkuang, Kampung Padang Luar, Kampung Tanjung Putus, Kampung Lubuk Batu, Kampung Padang Teja dan Kampung Bukit Derang.

“Manakala di daerah Pendang pula, Kampung yang terjejas dinaiki air adalah Kampung Sungai Mati, Kampung Banggol Besi, Belakang Pondok Tanah Merah, Kampung Belakang Pendang, Kampung Seberang Pendang, Kampung Tajong Radin, Kampung Alor Punti, Kampung Tanah Merah Dalam dan Kampung Tok Pauh,” katanya.

Dalam pada itu, laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, lima sungai di dua daerah di Kedah masih mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya setakat jam 3 petang hari ini.

Antara sungai terbabit adalah Sungai Padang Terap di Kepala Batas dan Sungai Laka di Kampung Padang Pasir serta Sungai Bata di Kampung Bata di daerah Kubang Pasu manakala Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di daerah Kota Setar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini