
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak Setia, Bentong, Pahang terus meningkat, dengan seramai 95 orang daripada 28 keluarga kini berlindung di PPS tersebut.
Menurut laman Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 5 petang tadi, mangsa yang dipindahkan terdiri daripada 62 lelaki dan wanita dewasa, 29 kanak-kanak, serta empat bayi, termasuk seorang bayi perempuan.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataannya memaklumkan bahawa empat PPS kini beroperasi di seluruh negara akibat banjir dan tanah runtuh.
Di Sarawak, dua PPS dibuka di Miri dan Sibu, menempatkan 158 mangsa daripada 37 keluarga yang terkesan akibat tanah runtuh.
Selain itu, satu PPS di Jelebu, Negeri Sembilan kini menempatkan 96 mangsa daripada 24 keluarga yang terjejas akibat banjir.
Sementara itu, PPS baharu di SMK Karak Setia, Bentong dibuka hari ini bagi menampung keluarga terjejas dari Kampung Karak Setia dan Kampung Mangin yang dilanda banjir.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.